Erina melihat ke arah 4 orang lelaki yang berada di seberang jalan, sedang bergelut sesama lain. 3 lawan 1, namun lelaki melayu yang agak kacak itu berjaya menewaskan mereka. 3 lelaki gemuk dikalahkan oleh seorang lelaki yang sederhana saiznya.
Namun, tindakan lelaki gemuk yang mengacu pistol ke arah lelaki kacak tersebut menyebabkan Erina ingin campur tangan, dirasakan perlu namun langkahnya segera dihalang oleh seorang lelaki yang agak berumur. Wajahnya yang bengis dan serius segera menjadikan Erina berubah fikiran serta merta. Dia akur lalu menundukkan kepalanya sahaja. Kakinya mula melangkah jauh.
Bunyi tembakan bergema, menyebabkan burung merpati berhampiran segera berterbangan. Orang ramai yang berada tidak jauh di situ melarikan diri serta merta, takut terkena peluru sesat.
Ezman terjatuh ke belakang setelah tembakan dari Bob mengena bahagian bahu kirinya. Darah terpercik ke udara dengan erangan Ezman mengiringinya. Dia lantas jatuh di atas lantai, pandangannya menghala ke arah langit.
Anggota polis yang hadir segera menyerbu Bob dan kawan-kawannya. Mereka meronta-ronta untuk melepaskan diri namun gagal jua.
Ezman dikawal oleh anggota polis yang lain sambil menunggu ketibaan ambulans. Dia berpaling arah ke tepi, ke arah di mana dilihatnya gadi tersebut... namun gadis tersebut tiada di sana.
---
Erina hampa kerana tidak dapat membantu lelaki itu. Dia berasa kesal, setidaknya dia mungkin dapat menyelamatkannya. Adakah dia terselamat dari serangan tadi ? ... Kenapa aku berasa sedih ..? Aku langsung tidak mengenali dia, tapi kenapa hati aku berdebar-debar...
Erina terpaksa akur dengan teguran ayahnya tadi yang amat tegas dalam perkara membabitkan dia mencampuri urusan orang lain mahupun dalam perkara hidup dan mati. Itu merupakan salah satu peraturan ketat keluarganya. Dia hanya dapat mendoakan semoga Ezman selamat.
---
Ezman terlantar di wad icu di hospital kerajaan yang terletak di tengah ibu kota. Dia kini berada dalam keadaan koma, dan doktor tidak pasti bila dia akan sedarkan diri.
Ezwan kecewa kerana tidak dapat menolong Ezman. Dia terganggu di waktu itu kerana terasakan suatu tekanan yang luar biasa.
Terasakan suatu tekanan yang menghalang dia dari bertindak untuk menyelamatkan Ezman. Namun tekanan tersebut dirasakan sebagai lembut dan seperti suatu tekanan yang pernah dirasainya sebelum ini, tetapi bila.
Ezman sedang melarikan diri daripada peluru yang ditembak oleh Bob. Namun, sejauh mana dia berlari pun, peluru tersebut tetap mengena dadanya.
Peluru tersebut dirasakan menembusi dadanya dengan segala penuh kesakitan pada waktu yang amat singkat, lantas kemudiannya hilang segala perasaan tersebut.
Dia dibayangi sepasang suami isteri yang sekadar memerhatikannya dari jarak yang jauh. Dirasakan pasangan tersebut adalah mereka yang dicarinya selama ini, yakni ibu dan ayahnya.
Kehilangan kedua ibu dan ayahnya tika dia masih bersekolah menengah menimbulkan pelbagai persoalan yang tak dapat dijawabnya. Tiada sebarang berita dan tiada tanda yang mencurigakan yakni dibunuh, diculik, dan sebagainya. Mereka hilang begitu sahaja tanpa sebarang jejak.
Namun sejak akhir-akhir ini, dia terbayang kehadiran mereka semula dalam hidupnya.
No comments:
Post a Comment