Thursday, December 30, 2010

Bab 4

Hujan lebat membasahi kawasan rumah yang terletak di pinggir pekan yang terpencil tersebut. Bunyi tangisan bayi mengiringi dentuman petir di hari itu.



Tangisan bayi yang baru berumur 6 bulan, yang berada di dalam sebuah bakul kecil di tepi pintu rumah papan, rumah yang didiami seorang lelaki tua yang menginap berseorangan.



Apa yang ada pada bayi kecil tersebut hanyalah satu loket emas yang tertera dua nama, namun nama yang terakhir tidaklah jelas.



" Ezwan dan Ezz..."



Lelaki tua yang berpakaian baju melayu hijau dan berkain pelekat, melangkah keluar dari pintu rumahnya. Dia mencari punca bunyi tangisan bayi tesebut yang tidak kedengaran pada awalnya disebabkan petir yang sabung menyabung tadi.



Pandangannya terpaku ke arah bakul tersebut di tepi pintu rumahnya. Bayi lelaki tersebut mulai reda setelah dinampaknya lelaki tua yang dikenali sebagai Boon Li.



Namanya yang seakan cina kerana sememangnya dia adalah anak kacukan.



Terdapat loket emas yang diletak tepi bakul bersama dengan sepucuk surat. Boon Li menghulurkan tangannya ke arah bayi tersebut. Bayi lelaki tu berasa riang dan ketawa kecil apabila diangkatnya.



" Ezwan, oh Ezwan.. janganlah nangis ya ", katanya pada bayi lelaki yang dinamakan Ezwan.



Surat tu diambil dan dibaca oleh Boon Li kemudian.



" Boon Li, kini adalah masa untuk kau membalas jasa ku. Jagailah anakku ini Ezwan seperti anakmu sendiri. Bila masanya nanti, barulah kau ceritakan kisah yang sebenarnya. Dia harus mencari pasangannya yang bernama Ezz... bila dewasa kelak untuk merungkai segala-galanya..."



Catatan nama di akhir surat tersebut hanyalah tiga huruf sahaja, E C H.



" Apa yang telah berlaku pada kau, E? Adakah kau sudah berjaya melakukannya? "

bisik hati Boon Li.



Apa yang dia tahu kini, dia harus menunaikan janjinya pada ayah Ezwan. Walaupun dia berharap hari ni tak akan kesampaian, namun dia terpaksa akur dengan takdir.



Takdir yang bakal menguji perjalanan hidup Ezwan dewasa kelak.

Dalam mendidik dan mengasuh Ezwan ketika waktu kecil, Boon Li terpaksa bersusah payah menangani kerenah dan keajaiban Ezwan.



Adakalanya Ezwan sukar dikekang kerana kekuatannya sekali kala seperti orang yang dewasa, dan pernah Boon Li ditendang sampai melanggar dinding bilik tidur ketika menukar lampin.



Dalam 5 tahun kemudian, Boon Li berjaya mengasuh Ezwan dengan sebaik mungkin. Walaupun sedikit nakal, namun Ezwan tetap menurut kata-kata Boon Li.



Ezwan mengharungi sesi persekolahan di waktu umur 7 tahun tanpa kesukaran. Dia amatlah bijak dalam memahami segala pelajaran malahan telah menduduki tempat nombor 1 dalam kelas sehinggalah dia masuk ke sekolah menengah.



Apabila dia melangkah masuk ke sekolah menengah, pelbagai perkara baru mula berlaku pada kehidupan Ezwan. Dia kerap kali diganggu mimpi misteri, mimpi mengenai seorang gadis, namun tidak dapat dipastikan siapakah gadis tersebut.



Dia juga adakalanya tidak dapat mengawal perasaan amarah apabila diganggu oleh rakan kelasnya yang bertanyakan tentang ibu bapanya. Dia sedar yang dia adalah anak yatim piatu dan Boon Li merupakan ayah angkatnya. Apabila ditanya Boon Li mengenai ibubapanya, Boon Li sekadar mendiamkan diri sahaja.



Kadangkala dia juga diganggu oleh samseng budak sekolah yang suka membuli pelajar pelajar yang lemah. Namun Ezwan tidak pernah mengendahkah mereka malahan walaupun pernah dipukul dengan sebatang kayu, dia tidak pernah membalas. Ini kerana pukulan yang dikenakan padanya tidak sedikit pun mencederakan dirinya, tetapi yang menjadi mangsanya adalah penyerang tersebut.



Kayu yang dihayunkan pelajar tersebut patah dengan serta merta apabila terkena badan belakang Ezwan. Pelajar tersebut pula luka kedua belah tangan disebabkan serpihan kayu, manakala Ezwan seperti tidak mengendahkan keadaan tersebut.



Budak-budak pelajar samseng yang lain terkejut dengan apa yang berlaku. Mereka terus segera melarikan diri, khuatir mereka akan jadi mangsa pula.



Ezwan termenung. Dalam hatinya sedang memikirkan sesuatu yang rumit. Dirasakan dirinya diamati seseorang. Seseorang yang berada di sekolah yang sama, namun tidak dapat dipastikan.



Dari satu sudut jauh, seorang gadis berambut pendek paras bahu sedang memerhatikan Ezwan. Perasaan minat dan curiga terbayang di wajahnya.


" Ezwan..." bisik hatinya.

Tuesday, December 14, 2010

Bab 3

Ezwan kelihatan sedang bermandi peluh. Dia sedang berdiri di ruang tamu. Dilihatnya Ezman sedang berdengkur dengan nyenyak di atas sofa tersebut.

Dilihat jam di atas dinding, sudahpun hampir subuh waktunya. Apa yang berlaku tadi sememangnya langsung tak terduga.


----------


Jam loceng memecahkan suasana pagi yang sunyi di rumah Ezman. Dia yang sedang menikmati tidur yang nyenyak terkejut dengan bunyi loceng tersebut.

" Alamak! Dah lewat ni! "

Kerana berjaga di lewat malam menunggu kepulangan Ezwan, dia terlupa yang dia harus menghadiri temuduga di sebuah syarikat kewangan bumiputera di bandaraya Kuala Lumpur di pagi ini.

Sudah agak lama dia mencuba nasib di merata tempat, namun tiada rezeki. Dan kali ini, dia sememangnya berharap akan berjaya dalam meraih peluang tawaran bekerja.

Jam menunjukkan pukul 10.15am. Baru lewat 15 minit sahaja, namun dia tidak ingin melengahkan masa lalu menuju ke arah biliknya di atas. Dia melangkah cepat tanpa terfikirkan sama ada Ezwan sudah pulang mahupun tidak.

Segera dia mencapai tuala mandi dari bilik dan berlalu ke arah bilik mandi.

Terkejut dia apabila menyedari Ezwan terlantar di atas lantai bilik mandi tersebut, dengan lantainya basah disebabkan air yang mengalir dari pili.

Digerakkan tubuh Ezwan, namun tiada balas.

Namun dirasakan badan Ezwan teramatlah panas, tatkala titisan air yang mengena tubuhnya serta merta menjadi wap.

" Er, apa dah jadi ni??" fikir Ezman, lantas memerhatikan keadaan Ezwan yang kurang pasti apa yang telah berlaku.

Ezwan mulai sedar beberapa minit kemudian, terasa badannya yang hangat tadi telah pulih seperti biasa. Dia juga rasa sedikit sebanyak ringan, seperti baru saja melepaskan beban yang teramat berat dari badannya.

" Er, dah sedar juga kau ya" tanya Ezman.

Ternampak juga riak cemas dan risau di muka Ezman. Namun wajahnya bertukar lega.

" Apa jadi !? Tahu-tahu je kau dah pengsan dalam bilik mandi ni, " dia bertanya lagi

Ezwan termangu dengan soalan Ezman. Dia pun kurang pasti apa yang berlaku. Yang dia ingat, sekembalinya dari hutan rahsia tu, dia cuba merehatkan diri di dalam bilik tidur.

Namun, dia rasa tak sedap hati dan sebab itulah dia pergi ke bilik mandi. Apa yang berlaku kemudian, langsung tidak diingatinya.

Dirasakan dia hanya berada di bilik mandi tersebut sekejap sahaja, namun bila dilihat jam tangan nya yang menandakan waktu hampir 10.30 pagi, baru dia sedar yang dia telah berada di sana hampir 8 jam.

" Adakah disebabkan itu, aku jadi begini? " Ezwan tertanya-tanya dalam hati.

" Kalau kau dah ok, aku nak guna bilik mandi ni jap. Nak rushing ni, ada interview pagi ni " tegur Ezman.

Sememangnya dia memang tak boleh tangguhkan masa lagi, walhal dengan apa yang berlaku dengan Ezwan dan dengan segala persoalan yang ingin ditanyakan.

Rezeki harus diutamakan dahulu, yang lain boleh disambung kemudian.

Ezwan bingkas bangun meninggalkan bilik mandi tersebut. Dia melangkah menuju ke arah dapur di tingkat bawah rumah tersebut.

Dicapainya secawan susu sejuk di dalam peti ais lalu diminumnya. Tekaknya yang kering lantas berasa lega.

30 minit kemudian, Ezman sudahpun meninggalkan rumah tersebut. Ezwan sedang berbaring di atas katil di biliknya. Rumah yang didiami kini hanya mempunyai 2 bilik tidur, yang terletak di atas tingkat 1. Rumah milik Ezman semenjak kematian ibubapanya 5 tahun yang lepas dalam satu kemalangan jalan raya.

Lama-kelamaan, Ezwan terasa lena lalu tertidur.

Dalam buaian mimpinya, dia teringatkan sesuatu yang sudahpun dilupainya..

" Ezwan dan Ezz...."

Itu adalah ayat yang timbul dari mulut ayah angkatnya, 20 tahun yang lepas.

Ayah angkat yang menemuinya ketika dia baru berusia 6 bulan.

Sunday, November 28, 2010

Bab 2

Ezman duduk di atas sofa rumahnya sambil menghirup teh panas yang baru saja dibancuhnya. Entah dah berapa cawan teh dia minum semenjak Ezwan ghaib petang tadi.

Jam dah hampir 1 pagi. Rasa bimbang dan takut menusuk hatinya. Dia menggeleng kepalanya sambil menekup kedua belah tapak tangan ke arah mukanya.

Tidak terdaya untuk dia memikirkan apa yang sedang dilalui dan dilakukan oleh Ezwan kini.

Orang tua yang sedang berjumpa dengan Ezwan, tak kenal asal usul nya. Dan pengenalan mereka bukanlah secara bersua muka, namun dari panggilan telefon.

Dari mana orang tu boleh mengetahui nombor telefon rumahnya, dan apakah pertalian dia dengan Ezwan berlegar dalam kepala otaknya. Macam-macam persoalan dan andaian.

Teringat kembali bagaimana dia boleh berkenalan dengan Ezwan. Perasaan syukur di dalam hati kerana di hari itu, bukan kerana dengan pertolongan Ezwan, tak mungkin dia akan bernyawa lagi di hari ini.

Dia yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke kedai makan di kawasan rumahnya tiba-tiba didatangi 3 orang lelaki berbadan besar. Kebetulan di hari itu, dia memilih untuk mengikut sebuah lorong pintas.

Ketika itu, dia baru sahaja solat Asar di masjid berdekatan, dan terasa agak lapar. Jalan pintas tersebut bukanlah asing bagi dia, boleh dikatakan hampir setiap hari dilaluinya.

Dengan tak semena-mena, salah seorang lelaki tersebut yang agak tinggi dan gempal menolak dia sehinggakan dia terjatuh ke arah permukaan jalan di lorong tersebut.

Ezman terasa sakit yang amat sangat di bahagian pinggang apabila badannya mengena permukaan jalan yang kurang rata tersebut. Dia agak gelisah kerana setahu dia, dia tak pernah bermusuhan dengan sesiapa pun, dan langsung tak mengenali ketiga-tiga orang lelaki tersebut.

" Siapakah awak semua ni! Saya kenal kamu ke?!" teriak Ezman.

Belum sempat dia bangun, lelaki yang kedua, seorang cina yang bermisai dan bertopi menghayun kaki kanan dan terus mengena bahagian rusuk kiri Ezman.

Ezman mengerang kesakitan yang amat sangat. Pedih dan sakit.

Peluh mula membasahi seluruh tubuh badan Ezman. Rasa takut segera menyelubungi dirinya. Dirasakan dirinya kini sedang berhadapan dengan bahaya yang akan mengancam nyawa dia bila-bila masa sahaja.

" Kita orang ni nak belasah kau sampai mampus! Tak ada peluang untuk kau hidup lagi malam ni! " Lelaki yang ketiga, seorang mamat melayu dalam lingkungan 30-an menghampirinya perlahan-lahan.

" Kau kacau girlfriend bos aku, itu yang buat bos aku mengamuk! Berani kau ya, tak sedar diri langsung! "

" Siapa girlfriend bos kau? Aku tak kenal langsung!" teriak Ezman.

Mamat melayu tersebut baru aja nak menghayunkan penumbuk kanan nya ke arah muka Ezman, tetapi mamat tersebut tiba-tiba je terlantun ke arah belakang seperti layang-layang dan mengena 2 orang rakannya.

Ezman terbeliak matanya melihat apa yang sedang berlaku. Ditolehnya kiri dan kanan, namun tiada siapa pun yang berada di lorong tersebut melainkan dia dan 3 orang lelaki tersebut.

" Bos, ada hantu ke ? Gua tak sedap hati le.." lelaki cina tu bertanyakan pada mamat melayu tu.

" Oi, mana ada hantu di dunia ni. Ni mesti bos tergelincir sebab tu terjatuh kan ?' lelaki gempal yang berkulit gelap tu bersuara.

Melihatkan mereka agak keliru dengan keadaan tu, Ezman segera bangun dan mula langkah seribu. Namun, mamat melayu dan 2 orang rakannya sedar dan mula mengejar Ezman.

Rasa sakit di bahagian pinggang dan rusuk menyukarkan pergerakan Ezman untuk berlari laju dari mereka.

" Arghhhh!!!! "

Satu dentuman kedengaran di belakangnya. Ditolehnya dan dilihat ketiga-tiga orang tersebut terbaring menindih sesama sendiri di tepi kontena sampah dengan sampah sarah mengelilingi mereka.

Masing-masing kelihatan tidak sedarkan diri. Ezman menelan air liur sambil menoleh ke kiri dan ke kanan.

" Ada hantu ke ni.." bisik hatinya.

Tanpa berlengah lagi, dia cepatkan langkah untuk beredar dari situ dengan segera. Namun, dia tercegat di tempat yang sama.

Dilihat di depannya ada seorang lelaki yang hampir sama tinggi dengannya , berambut hitam perang yang sederhana, sedang berdiri di depannya.

" Bang, boleh tolong saya tak?" tanya lelaki tersebut

Ezman merenung lelaki tersebut, dilihatnya dari bawah ke atas, memastikan yang lelaki tersebut sememangnya berpijak di atas lantai. Pakaiannya tidaklah kemas, sekadar seluar jeans dan ber t-shirt hijau belang.

" Dia ke yang tolong aku tadi?" fikirnya lagi.

" Tolong pe ya? " tanya Ezman.

" Saya nak cari tempat berteduh untuk malam ni. Ada tak rumah penginapan atau hotel di kawasan ni?"

" Takkan sesat kot? Mana ada hotel kat kawasan sini..." tanya Ezman.

" Erm, saya memang sesat sebenarnya. Saya pun kurang pasti macam mana boleh datang ke sini "

Ezman berasa pelik. Macam tak percaya dengan apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut.

" Beginilah, apa kata kalau awak tumpang malam ni di rumah saya?" pelawa Ezman.

Sememangnya dia tak ingin pelawa, namun dirasakan ada sesuatu yang menarik minatnya pada lelaki tersebut. Adakah dia yang selamatkan Ezman dari 3 orang lelaki tersebut..

" Mustahil! Mana mungkin" fikirnya lagi.

" Erm, nama saya Ezman. Awak?" dihulurkan tangan kanan ke arah lelaki tersebut.

" Saya Ezwan, Ezwan Hassan " lalu disambutnya salam Ezman.

Saturday, November 27, 2010

Part 1

Dia tetap pergi, walaupun cuba dihalang oleh Ezman. Walaupun sedar bahaya sedia menanti, Ezwan tetap dengan keputusannya. Misteri dan segala rahsia yang berkait rapat tentang dirinya harus dirungkai, tak kira apa jua cabaran yang bakal diharunginya.

" Kau tahu kan, bahaya kalau kau pergi camtu je! Kau percaya ke dengan orang tua gila tu?! "

" Aku tak kisah! Yang penting, aku nak tahu juga daripada orang tua tu. Tak kisah sama ada betul atau tak, aku tetap akan jumpa dia!"

Ezman menggeleng kepala dia, keliru dengan apa yang akan dilakukan oleh Ezwan. Lelaki yang baru dikenalinya tak sampai 2 bulan, namun dirasakan amat rapat dengannya.

" Aku gerak dulu. Man, kau tak payah tunggu aku. Aku akan balik jua bila aku dah dapat apa yang aku cari"

Baru sahaja Ezwan habis berbicara, dengan sekelip mata dia terus hilang dari ruang tamu tersebut. Hilang bukan secara melangkah keluar dari ruang tamu tersebut, tapi lebih kepada ghaib.

Ezman tidak lah terkejut sangat dengan apa yang berlaku di depan mata dia. Lagipun ini bukan kali pertama Ezwan ghaib begitu sahaja.

Namun, perasaan takjub dan musykil sentiasa di kepalanya. Sama ada Ezwan ni manusia atau tidak, mahupun mahkluk asing...



---



Ezwan muncul di satu kawasan perhutanan yang agak jauh dari bandaraya, apatah lagi jauh dari rumah yang didudukinya bersama Ezman.

Suasana sejuk dan seram menyelubungi kawasan tersebut, apatah lagi hanya sinaran cahaya bulan yang kelihatan.

Ezwan tidak bergerak dari tapaknya, kelihatan sedang mengamati suasana sekeliling. Wajahnya kelihatan tenang, namun hatinya tetap gelisah.

Bukan gelisah dengan suasana sekelilingnya, tetapi gelisah dengan apa yang bakal ditemui dan diketahuinya nanti.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi orang berjalan memecah suasana sunyi tersebut. Bunyi hembusan nafas yang halus, dan perlahan mengiringi bunyi tapak kaki tersebut.

" Kau akhirnya datang juga ya! "

Suara garau dan kasar diluahkan orang tersebut kepada Ezwan.

Ezwan mengamati suasana sekeliling, ternampak tubuh seorang yang agak berumur , berjalan terbongkok-bongkok semakin menghampiri dia.

Sinaran cahaya bulan sekadar menampakkan bahagian bawah tubuh lelaki tersebut.

" Saya datang seperti yang dijanjikan! " Kata Ezwan dengan tegas.

Dia benar-benar berharap dapat jawapan pada segala rahsia yang dicarinya selama ini, rahsia tentang asal-usul dan latar belakang dirinya sendiri, dan mengapa dia mempunyai kebolehan yang mustahil boleh dimiliki oleh seorang manusia biasa.

Lelaki tersebut makin mendekati Ezwan, dengan langkah yang perlahan. Wajahnya sedikit sebanyak menampakkan muka yang kedut dan pucat, tidak berambut tetapi berjanggut pendek . Gigi yang dinampakkan tidaklah sekata, namun ada ketajamannya.

" Kau benar-benar seiras dengan dia, tak salah lagi.." kata orang tua tersebut.

" Siapakah dia yang dimaksudkan?!"

" Ayah kau!"