Hujan lebat membasahi kawasan rumah yang terletak di pinggir pekan yang terpencil tersebut. Bunyi tangisan bayi mengiringi dentuman petir di hari itu.
Tangisan bayi yang baru berumur 6 bulan, yang berada di dalam sebuah bakul kecil di tepi pintu rumah papan, rumah yang didiami seorang lelaki tua yang menginap berseorangan.
Apa yang ada pada bayi kecil tersebut hanyalah satu loket emas yang tertera dua nama, namun nama yang terakhir tidaklah jelas.
" Ezwan dan Ezz..."
Lelaki tua yang berpakaian baju melayu hijau dan berkain pelekat, melangkah keluar dari pintu rumahnya. Dia mencari punca bunyi tangisan bayi tesebut yang tidak kedengaran pada awalnya disebabkan petir yang sabung menyabung tadi.
Pandangannya terpaku ke arah bakul tersebut di tepi pintu rumahnya. Bayi lelaki tersebut mulai reda setelah dinampaknya lelaki tua yang dikenali sebagai Boon Li.
Namanya yang seakan cina kerana sememangnya dia adalah anak kacukan.
Terdapat loket emas yang diletak tepi bakul bersama dengan sepucuk surat. Boon Li menghulurkan tangannya ke arah bayi tersebut. Bayi lelaki tu berasa riang dan ketawa kecil apabila diangkatnya.
" Ezwan, oh Ezwan.. janganlah nangis ya ", katanya pada bayi lelaki yang dinamakan Ezwan.
Surat tu diambil dan dibaca oleh Boon Li kemudian.
" Boon Li, kini adalah masa untuk kau membalas jasa ku. Jagailah anakku ini Ezwan seperti anakmu sendiri. Bila masanya nanti, barulah kau ceritakan kisah yang sebenarnya. Dia harus mencari pasangannya yang bernama Ezz... bila dewasa kelak untuk merungkai segala-galanya..."
Catatan nama di akhir surat tersebut hanyalah tiga huruf sahaja, E C H.
" Apa yang telah berlaku pada kau, E? Adakah kau sudah berjaya melakukannya? "
bisik hati Boon Li.
Apa yang dia tahu kini, dia harus menunaikan janjinya pada ayah Ezwan. Walaupun dia berharap hari ni tak akan kesampaian, namun dia terpaksa akur dengan takdir.
Takdir yang bakal menguji perjalanan hidup Ezwan dewasa kelak.
Dalam mendidik dan mengasuh Ezwan ketika waktu kecil, Boon Li terpaksa bersusah payah menangani kerenah dan keajaiban Ezwan.
Adakalanya Ezwan sukar dikekang kerana kekuatannya sekali kala seperti orang yang dewasa, dan pernah Boon Li ditendang sampai melanggar dinding bilik tidur ketika menukar lampin.
Dalam 5 tahun kemudian, Boon Li berjaya mengasuh Ezwan dengan sebaik mungkin. Walaupun sedikit nakal, namun Ezwan tetap menurut kata-kata Boon Li.
Ezwan mengharungi sesi persekolahan di waktu umur 7 tahun tanpa kesukaran. Dia amatlah bijak dalam memahami segala pelajaran malahan telah menduduki tempat nombor 1 dalam kelas sehinggalah dia masuk ke sekolah menengah.
Apabila dia melangkah masuk ke sekolah menengah, pelbagai perkara baru mula berlaku pada kehidupan Ezwan. Dia kerap kali diganggu mimpi misteri, mimpi mengenai seorang gadis, namun tidak dapat dipastikan siapakah gadis tersebut.
Dia juga adakalanya tidak dapat mengawal perasaan amarah apabila diganggu oleh rakan kelasnya yang bertanyakan tentang ibu bapanya. Dia sedar yang dia adalah anak yatim piatu dan Boon Li merupakan ayah angkatnya. Apabila ditanya Boon Li mengenai ibubapanya, Boon Li sekadar mendiamkan diri sahaja.
Kadangkala dia juga diganggu oleh samseng budak sekolah yang suka membuli pelajar pelajar yang lemah. Namun Ezwan tidak pernah mengendahkah mereka malahan walaupun pernah dipukul dengan sebatang kayu, dia tidak pernah membalas. Ini kerana pukulan yang dikenakan padanya tidak sedikit pun mencederakan dirinya, tetapi yang menjadi mangsanya adalah penyerang tersebut.
Kayu yang dihayunkan pelajar tersebut patah dengan serta merta apabila terkena badan belakang Ezwan. Pelajar tersebut pula luka kedua belah tangan disebabkan serpihan kayu, manakala Ezwan seperti tidak mengendahkan keadaan tersebut.
Budak-budak pelajar samseng yang lain terkejut dengan apa yang berlaku. Mereka terus segera melarikan diri, khuatir mereka akan jadi mangsa pula.
Ezwan termenung. Dalam hatinya sedang memikirkan sesuatu yang rumit. Dirasakan dirinya diamati seseorang. Seseorang yang berada di sekolah yang sama, namun tidak dapat dipastikan.
Dari satu sudut jauh, seorang gadis berambut pendek paras bahu sedang memerhatikan Ezwan. Perasaan minat dan curiga terbayang di wajahnya.
" Ezwan..." bisik hatinya.
No comments:
Post a Comment